KUALA LUMPUR: Ahli politik yang menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) atas kapasiti mereka sebagai Menteri, kata Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad.

Marzuki menjelaskan, Menteri diletakkan dalam MPN kerana segala keputusan yang dibuat akan dilaksanakan oleh oleh mereka sebagai anggota Kabinet.

"Perjalananan pentadbiran harian kerajaan (day to day running of the government) dilaksanakan oleh Jemaah Menteri.

"Jadi apabila MPN membuat apa-apa keputusan, keputusan itu hendaklah dilaksanakan oleh Menteri dan kementerian yang bertanggungjawab.

"Maka wajiblah Menteri yang berkenaan menjadi anggota tetap MPN atau hadir atas jemputan dalam mana-mana mesyuarat MPN apabila perkara yang berkaitan dengan kementeriannya dibincang dalam mesyuarat MPN," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Marzuki juga menjelaskan, ketika mesyuarat MPN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat, terdapat cadangan yang dikemukakan oleh Menteri dan wakil kumpulan profesional.

Jelas beliau, semua cadangan tersebut dibincang dan dibahas oleh semua anggota yang hadir, termasuk oleh kumpulan pakar dan professional.

"Perdana Menteri dan menteri-menteri banyak mendengar pandangan kumpulan pakar dari pelbagai bidang dalam membuat keputusan dan rumusan.

"Banyak idea yang disampaikan oleh mereka mengenai usaha menangani pandemik, vaksinasi, bantuan kepada golongan yang terjejas, pembukaan sektor ekonomi, sosial dan lain-lain," katanya lagi.

Marzuki mengingatkan, pihak yang mahu MPN dianggotai oleh kumpulan profesional agar jelas tentang bagaimana sistem kerajaan berfungsi.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad menyenaraikan 20 individu yang beliau namakan untuk menganggotai MPN yang dicadangkan.

Dalam 20 individu tersebut hanya empat Ahli Parlimen iaitu, Datuk Seri Azalina Othman Said, Hannah Yeoh, Fahmi Fadzil dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disenaraikan.